GENAP lima tahun usia perkahwinan, Azrul akhirnya berjaya memiliki kereta pertama yang dibeli secara tunai berharga RM1,000.
Kereta tersebut adalah jenis Proton Iswara yang dijual kepadanya oleh seorang lelaki yang dikenali di grup Facebook.
Selepas membawa pulang kereta berwarna hitam itu pada Sabtu lalu, jelas terpancar keterujaan di wajah isteri dan anaknya yang berusia empat tahun.
Gembira dengan ‘pencapaiannya’, Azrul yang menetap di Temerloh, Pahang membawa keluarganya makan angin di Kuala Lumpur pada keesokan hari.
Sewaktu dalam perjalanan, anak lelakinya, Daniel menegur bau busuk di dalam kereta sehingga menyebabkan dia muntah gara-gara tidak tahan dengan baunya.
“Papa kentut ke ni? Busuknya!” ujar Daniel ketika menaiki kereta berusia 15 tahun itu.
Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan perjalanan dengan membuka cermin tingkap seluas-luasnya bagi menghilangkan bau busuk yang menusuk hidung itu yang boleh dikatakan lebih teruk daripada bau bangkai.
Bagaimanapun Azrul terpaksa juga memberhentikan keretanya di R&R Karak, Pahang, untuk mencari dari mana datangnya bau tersebut.
Kereta pernah terbabit kemalangan mungkin tidak selamat lagi digunakan. -Gambar hiasan
Terlintas juga di fikiran dia berkemungkinan terlanggar bangkai haiwan liar yang mati di atas jalan sewaktu dalam perjalanan dari Temerloh.
Selepas lama memerika sekeliling kereta dan bahagian enjin, tiada sebarang benda asing atau aneh dikesan.
Sebelum meneruskan perjalanan, anaknya tiba-tiba menangis di tempat duduk belakang sambil mengetuk-ngetuk pintu untuk keluar dari kereta.
“Kena gigit binatang kut. Cuba abang tengok dalam baju dia,” ujar si isteri kepada Azrul.
Dia kemudian membawa Daniel masuk ke tandas lalu memeriksa tubuh anaknya itu tetapi tiada apa yang dijumpai.
Ketika Azrul masih berada di dalam tandas, mereka berdua dihampiri oleh seorang lelaki yang usianya dalam lingkungan 50-an.
“Anak awak menangis sebab dia nampak ‘benda’ dalam kereta. ‘Dia’ ikut kamu dari rumah lagi,” ujar lelaki tidak dikenali itu.
Tergamam dengan teguran secara mengejut itu, Azrul terus memandang wajah lelaki itu seolah-olah tidak percaya dengan kata-katanya.
“Kamu baru beli ke kereta tu? Sebenarnya ada makhluk yang tak tenteram dalam kereta tu. Kamu tak rasa apa-apa yang pelik ke masa beli?” ujar lelaki itu lagi.
Sebelum membeli kereta terpakai, eloklah diselidik ‘sejarahnya’ terlebih dahulu. -Gambar hiasan
Selepas Azrul menceritakan kisah sebenar, lelaki tersebut memintanya mengosongkan kereta untuk ‘mengusir’ makhluk berkenaan daripada terus ‘menghuni’ Protos Iswara itu.
Lelaki itu yang memakai kopiah putih membeli air mineral lalu membaca doa sambil merenjis kereta Azrul dari luar dan dalam.
Sejurus selesai ‘menghalau’ entiti berkenaan, anaknya kembali tenang dan tidak lagi menangis.
Azrul kemudian masuk ke dalam kereta bagi mengambil dompetnya kerana mahu memberi sedikit wang saguhati sebagai tanda terima kasih kepada pakcik tua tersebut.
Namun, lelaki tersebut serta merta hilang dari pandangan.
Dia terus membatalkan niat untuk berjalan-jalan di ibu kota dan segera pulang ke rumah mereka.
Kejadian misteri itu masih segar dalam ingatannya walaupun sudah tidak mengalami gangguan.
Rupa-rupanya, kereta lama yang dibeli Azrul itu pernah terbabit dalam satu kemalangan yang meragut nyawa tuannya 11 tahun lalu.
Perkara itu diberitahu oleh penjual kereta selepas didesak beberapa kali oleh Azrul yang ingin mengetahui hal sebenar.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber :Mstar
Leave a Reply