Polis Bantuan ‘Cembvru’ Teng0k Orang Segak Berbaju Melayu, Tapi Puas Dapat Berkhidmat Untuk Masyarakat Di Aidilfitri

MERUPAKAN tradisi Aidilfitri untuk anak perantauan dari seluruh pelosok negara pulang ke kampung halaman.

Namun ada sesetengah yang perlu berjauhan daripada keluarga pada hari lebaran kerana memikul amanah.

Cara Ikhmal meraikan Aidilfitri sedikit berbeza berbanding orang awam.

Begitulah kisah anggota polis bantuan, Ikhmal Afiq yang harus mencekalkan diri bekerja pada minggu pertama Syawal tahun ini.

Ikhmal bersama rakan setugasnya.

Berkongsi asam garam kehidupannya, Ikhmal berkata Aidilfitri kali ini dia ditugaskan untuk menjaga aset dan keselamatan harta benda milik majikannya di sebuah syarikat swasta.

“Dalam bidang penguatkuasaan, cuti raya biasanya kami gunakan konsep rolling atau bergilir, supaya adil semua dapat merasa bercuti dengan keluarga, tidaklah nanti berlaku salah faham.

“Tiga tahun sekali akan sampai giliran saya untuk beraya dengan keluarga. Giliran saya yang sebelum ni pada tahun 2021, jadi tahun depan (2025) baru saya dapat beraya di rumah.

“Ini la lumrah yang saya perlu lalui melainkan kalau ada budi bicara daripada rakan sekerja untuk tukar suka sama suka. Nak cakap sedih tu tidaklah sangat sebab alah bisa tegal biasa.

“Saya mengikhlaskan hati dan jiwa ini untuk berkorban demi masyarakat dan komuniti,” ujar Ikhmal yang sudah sembilan tahun berkhidmat sebagai polis bantuan di Johor Bahru, Johor.

Tambah Ikhmal lagi, dia akan bekerja seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri, oleh itu harus membuat persiapan raya awal bersama keluarganya.

“Saya dah selesaikan shopping raya dengan anak dan isteri semua. Kami beli baju baharu dan makanan untuk raya nanti. Selepas tu saya akan hantar mereka ke kampung belah isteri di Ayer Hitam, Johor.

Saya rasa satu kepuasan dalam hati ni apabila dapat tolong orang yang dalam kesusahan, terutamanya ketika raya.

IKHMAL AFIQ

“Malam sebelum raya dan paginya saya buat video call untuk sesi bermaaf-maafan dengan anak dan isteri. Mentua pun ikut sekali dalam video call. Itu rutinnya kalau saya kerja raya, dapat la mengubat sikit rindu di hati.

“Alhamdulillah isteri boleh terima dengan hati terbuka yang saya tidak ada dengan dia masa raya, cuma kadang-kadang tu ada dia sebut, gambar raya ni lagi cantik kalau ada abang sekali, tak lengkap rasa,” ujar Ikhmal.

Menurut Ikhmal, walaupun berjauhan daripada orang tersayang tetapi dia bersyukur kerana mempunyai rakan sekerja yang mampu memeriahkan dan menghidupkan suasana Syawal, ibarat keluarga angkatnya.

“Waktu pagi raya, seperti hari-hari lain, kami buat sesi penerangan (briefing) tentang skop kerja pada hari berkenaan. Kemudian, sebelum gerak kerja kami ada jamuan berkonsepkan potluck.

Ikhmal (kanan) ketika majlis berbuka puasa pada Ramadan tahun ini.

“Waktu ni seronok betul. boleh makan sekali dengan kawan-kawan yang senasib tak dapat balik beraya. Riuh habis kami bersembang. Itu yang membuatkan saya tak rasa keseorangan.

“Tentang solat raya pula, ia bergantung kepada kelonggaran penyelia dan kalau ada rakan setugas kita yang sudi tolong jagakan, sebab tak boleh beramai-ramai semua pergi masjid sampai kosong pos kawalan kami.

“Cuma satu benda yang sayu kalau bekerja waktu raya ni, apabila saya melihat orang ramai segak berbaju Melayu dan bersampin bergerak ke sana dan ke sini untuk ziarah-menzaiarahi, sementara saya pula mengenakan uniform,” kata Ikhmal.

Ikhmal seterusnya menceritakan pengalaman pahit dan manis yang paling melekat di fikiran ketika bertugas sewaktu Aidilfitri.

Ikhmal dan rakan seperjuangan tidak pernah jemu menabur bakti kepada masyarakat.

“Saya rasa satu kepuasan dalam hati ni apabila dapat tolong orang yang dalam kesusahan, terutamanya ketika Aidilfitri.

“Paling saya ingat, ada satu tahun ni waktu saya buat rondaan, saya terserempak dengan sebuah kereta yang tersadai tepi jalan. Nampak muka pemandu tu dah resah habis. Saya turun pergi tengok, rupanya masalah bateri.

“Saya pun mulakan prosedur jump-start kereta dan syukur boleh jalan semula kereta dia. Apabila jelas terpampang kelegaan pada wajah pemandu tu kerana dapat teruskan perjalanan, itu yang suka tengok.

“Kalau tentang pengalaman pahit pula, saya boleh katakan setiap kali tak dapat pulang beraya ke pangkuan keluarga, ia adalah satu realiti yang pahit untuk saya telan,” ujar Ikhmal.

Menitipkan pesanan sempena Aidilfitri, Ikhmal meminta masyarakat untuk tidak memandu di jalan raya mengikut perasaan sehingga merugikan diri dan hargailah orang tersayang selagi mempunyai peluang.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber :Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*